Sahabat
Wednesday, October 08, 2014
Kita layan cerpen pendek.. cerita ni sy ambk dr blog sape tah, lpa nak save url dia. Sori yea...
"SAYANG, bersabarlah. Duduk dulu. Tenangkan fikiran," Iqmal mengusap bahu Syazana lalu dibawanya gadis itu ke kerusi berhampiran. Syazana masih belum berhenti menangis.
"Macam mana Syana nak tenang, Mal? Ari ada di dalam! Dia kemalangan disebabkan Syana! Syana tidak akan memaafkan diri Syana sekiranya apa-apa berlaku pada Ari," lafaz Syazana dalam sedu sedannya.
"Mal, Syana rasa bersalah sangat. Demi Tuhan, Syana tidak mengharapkan semua ini akan terjadi. Syana mohon maaf pada Mal. Mal sanggup mengorbankan hati dan perasaan Mal demi Syana dan juga kebahagiaan Ari. Syana cuma ingin melihat Ari bahagia. Sejak Mal menerima Ari, Syana tidak pernah melihat Ari sebahagia itu. Malangnya, bahagia Ari cuma seketika. Ari sudah dapat menghidu perbuatan Syana,"
"Syana…" bisik Iqmal, begitu lembut di halwa telinga Syazana. Jari jemari Syazana diraih dan diusap mesra.
"Syana, Mal tak berkecil hati pada Syana. Malah, Mal bangga kerana menyayangi gadis berhati suci seperti Syana. Pengorbanan yang Mal lakukan ini tidak sebesar mana. Demi Syana, lebih dari ini juga sanggup Mal lakukan. Mal ingin membuktikan pada Syana betapa Mal begitu mencintai Syana. Ari tidak mampu menjadi pengganti di hati Mal. Hanya Syana…"
"Mal, Mal pernah janji pada Syana yang Mal akan cuba menyayangi Ari?" duga Syazana. Iqmal diam. Tangan Iqmal menjauhi tangan Syazana. Syazana terkejut namun tidak ambil hati. Iqmal tertunduk. Rambutnya diraup beberapa kali.
"Itulah janji Mal yang tidak mampu Mal tunaikan, Syana. Di hadapan Ari, Mal berjaya berlakon menyayangi dirinya namun di hati Mal sendiri, Mal tidak dapat melakukannya. Maafkan Mal, Syana. I just can’t do it..." begitu lemah suara Iqmal. Syazana mengetap bibir.
"Patutnya dari mula lagi Syana tidak seharusnya membuat permintaan yang bukan-bukan, kan?" luah Syazana tanpa memandang Iqmal. Riak penyesalan jelas terbit di wajah itu.
"Syana…"
Syazana memejamkan matanya. Beberapa saat selepas itu, mutiara jernih sekali lagi menjadi teman.
"Syana bodoh, Mal. Syanalah yang bersalah…" rintihnya, pilu.
Iqmal membawa Syazana ke dalam pelukannya, berharap agar tangisan kekasih hatinya itu reda. Syazana tidak membantah, malah disembamkan kepalanya ke dada Iqmal. Dia menangis di situ.
"Semua ini ketentuan Tuhan, sayang. Bukan salah sayang, bukan juga salah Ari. Sesiapapun tidak bersalah dalam hal ini. Kita sama-sama berdoa, agar Ari akan selamat. Ok? Sudahlah. Jangan menangis lagi," diseka air mata Syazana yang membasahi wajah putih bersih itu.
Syazana mengangguk-anggukkan kepalanya. Doanya tidak putus-putus buat Arianna. Seketika, air mata di pipinya semakin kering.
------------------------------------
"Doktor, bagaimana dengan keadaan sahabat saya?" Syazana terus bertanya sebaik sahaja seorang doktor keluar dari bilik kecemasan itu. Iqmal turut mendekati. Masing-masing mengharapkan khabar baik dari doktor itu setelah sabar menanti selama beberapa jam itu.
"Keadaannya sangat kritikal. Dia kehilangan banyak darah. Paling merumitkan, darah jenisnya susah didapati di hospital ini. Kami perlukan darah itu segera. Dia mungkin dapat diselamatkan sekiranya ada sesiapa dari ahli keluarganya yang sudi mendermakan darah kepadanya, atau ada orang yang sejenis darah dengannya," doktor itu menerangkan.
Iqmal berbisik di telinga Syazana agar tidak didengari oleh doktor itu.
"Macam mana ni, Syana?"
"Apakah jenis darah itu,doktor?" Syazana bertanya lagi, langsung tidak diendahkan bisikan Iqmal di telinganya tadi.
"O positif,"
Pantas Syazana mengeluarkan dompet dari tas tangannya. Dikeluarkan pula sekeping kad dalam dompet itu. Syazana tersenyum lalu mengucapkan seribu syukur. Dihulurkan kad itu kepada doktor.
"Doktor, saya sejenis darah dengannya. Izinkan saya menderma!"
-------------------------------------
SYAZANA telah dibawa ke dalam satu bilik khas. Dia diarah untuk berbaring di atas sebuah katil. Lengan kanannya disuntik. Seketika, dia melihat darahnya yang sudah mengalir keluar dari tubuhnya menerusi tiub jernih. Serentak, ingatannya terimbas pada kejadian tadi..
"ARI! Tunggu!" jerit Syazana kepada Arianna yang semakin melangkah jauh daripadanya. Dia perlu menjelaskan segalanya kepada Arianna. Arianna salah faham! Apa yang dilihatnya sebentar tadi bukan seperti apa yang difikirkannya. Dia bukan begitu!
"Ari! Tunggu dulu. Please! Dengar dulu penjelasan saya," rayunya. Tangan Arianna diraih tetapi Arianna pantas merentapnya. Kakinya semakin laju menapak. Syazana masih tidak berputus asa. Diikut sahaja jejak kaki Arianna itu.
"Awak… janganlah macam ni. Saya boleh jelaskan. Apa yang awak lihat tadi bukan seperti yang awak fikir,"
Arianna berhenti menapak. Mata berairnya memandang seraut wajah Syazana. Pandangannya penuh dengan kebencian dan dendam. Sampai hati Syazana mempermainkan perasaannya, sahabat yang paling disayangi dan dipercayainya. Jika dia tidak berpatah balik untuk mengambil buku notanya di dewan kuliah, pasti sampai mati dia tidak akan mengetahui sandiwara Syazana di belakangnya!
"Apa yang saya lihat bukan seperti apa yang saya fikir? Sudahlah. Jangan tipu saya lagi! Saya sudah nampak segala-galanya," Arianna meneruskan langkahnya. Syazana pula terus mengejar Arianna dari belakang. Langsung tidak dipedulikan mata-mata yang memandang mereka.
"Ari!" Syazana menarik semula tangan Arianna. Kali ini lebih kuat. Arianna sendiri tidak mampu untuk menepisnya.
"Ari, tolonglah. Dengarlah dahulu penjelasan saya. Saya langsung tidak mempunyai niat untuk mempermainkan awak. Saya merayu pada awak. Janganlah buat saya macam ni. Saya sedih bila awak berkelakuan macam ini," air matanya mulai gugur ke pipi. Dia tersentuh dengan sikap dingin Arianna.
Arianna tersenyum sinis meskipun tubir matanya sendiri turut ditakungi air mata, cuma hanya menunggu masa untuk jatuh ke pipi.
"Jangan buat awak macam ni? Buat apa? Siapa yang patut jangan buat kepada siapa sekarang ni? Selama ini, saya meluahkan segala apa yang saya rasa tentang Iqmal pada awak. Awak tahu saya mempunyai perasaan istimewa terhadap Iqmal. Kita pernah berjanji, tiada rahsia antara kita. Malangnya pada hari ini, saya telah mengetahui rahsia yang sepatutnya setahun lepas sudah saya tahu! Sampai hati awak,Syana? Kenapa awak tak beritahu saya? Kenapa awak tak beritahu saya yang sebenarnya awak dan Iqmal sepasang kekasih?!"
"Sebab awak sahabat saya! Awak kawan saya,Ari,"
"Sahabat? Ah, apa ada pada sahabat awak tu! Sahabat tikam dari belakang!" Arianna menarik kembali tangannya lalu memintas jalan tanpa memandang ke kiri dan kanan. Tiba-tiba…
"Ari!!!" jerit Syana, namun jeritan itu langsung tidak dapat didengari oleh sekujur tubuh yang sudah kaku dan berlumuran darah itu…
-------------------------------------------
ARIANNA membuka kelopak matanya yang terasa perit. Tubuhnya begitu lemah dan tidak mampu untuk bergerak. Matanya merenung persekitaran yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Di manakah aku? Hospitalkah? bicara hatinya setelah mendapati dirinya berbaring di katil hospital.
Pintu bilik dibuka. Kelihatan seorang perempuan berbaju jururawat tersenyum kepadanya. Jururawat muda itu datang menghampiri Arianna.
"Arianna? Baguslah awak sudah sedar," ucap jururawat yang tidak diketahui namanya itu.
"Nurse… apa sudah jadi kepada saya?" Arianna bertanya. Dia langsung tidak mengingati apa-apa.
"Awak mengalami kemalangan jalan raya. Awak telah dilanggar oleh kereta semasa melintas jalan. Keadaan awak agak kritikal kerana awak banyak kehilangan darah. Tambahan pula, darah jenis awak sudah ketiadaan stok di hospital ini. Mujurlah sahabat awak yang kebetulan sama jenis darah dengan awak sudi mendermakan darahnya kepada awak," panjang lebar jururawat itu menerangkan.
Arianna mengerutkan dahi. Pelik. Siapa pula yang sudi mendermakan darahnya kepada aku?
"Sahabat saya? Siapa?"
"Saya tidak tahu nama sahabat awak itu. Dia bertudung, berkulit cerah, tinggi lampai orangnya dan mempunyai tahi lalat di bawah bibirnya,"
Arianna terus teringatkan Syazana. Tidak syak lagi, Syazana lah yang mendermakan darah kepadanya! Dia cukup yakin!
"Baik sungguh sahabat awak itu. Bukan senang untuk mempunyai sahabat sebaiknya. Dia berada di sini sejak tengahari tadi, setia menunggu sehingga awak sedar," ramah jururawat itu berbicara.
Tiba-tiba pintu diketuk. Berderau darah Arianna melihat kelibat jejaka itu.
\"Iqmal...?\"
\"Iqmal...?\"
------------------------------------------------
"Ari, maafkan saya dan Syana kerana merahsiakan hubungan kami dahulu dari pengetahuan Ari. Kami sedar, Ari berhak untuk tahu. Percayalah, Ari. Syana bukan sengaja untuk merahsiakannya. Ada sebabnya yang Ari tidak tahu,"
"Sebab? Apa sebabnya? Dia sebenarnya mahu saya hanyut dengan perasaan saya sendiri. Itu kan sebabnya? Oh, Tuhan! Alangkah malunya saya! Saya mempunyai perasaan istimewa terhadap kekasih kepada sahabat baik saya sendiri! Prinsip yang paling ingin saya jauhi selama ini benar-benar terjadi kepada saya. Kalau saya tahu lebih awal, tentu saya akan menolak perasaan ini jauh dari saya. Kenapa baru sekarang saya dapat tahu? Awak takkan faham apa saya rasa. Saya cukup sayangkan Syana. Dialah sahabat paling baik, jujur, penyayang yang pernah saya ada selama ini, tetapi saya telah dipermainkannya hidup-hidup!"
"Awak jangan kata begitu, Ari. Awak tidak tahu hal yang sebenarnya…"
"Hal apa? Hal yang mengatakan awak dan Syana sebenarnya sepasang kekasih?" pintas Arianna.
"Ari, boleh tak awak jangan berkata begitu terhadap Syana? Awak tak tau dia telah melakukan segalanya demi awak. Dia sanggup berkorban untuk kebahagiaan awak. Saya tahu, awak mungkin rasa Syana telah mempermainkan perasaan awak tapi tahukah awak perasaan yang Syana alami sekarang? Dia begitu sayangkan awak. Dia sanggup lakukan apa saja demi awak.."
"… sehingga Syana telah meminta putus dari saya dengan harapan saya menerima awak sebagai teman istimewa. Pada mulanya saya menolak sekeras-kerasnya permintaan bodoh Syana itu, tetapi Syana seakan mengugut saya. Sekiranya saya sayang padanya, saya perlu menunaikan permintaannya itu. Awak sendiri faham tak apa yang saya rasai? Syazana menepikan saya demi sahabatnya, iaitu awak Ari! Syana sendiri kata sekiranya dia perlu memilih di antara awak dan saya, dia tidak ragu-ragu untuk memilih awak. Saya sedih… tetapi perasaan saya pada dia tidak pernah berubah malah semakin mendalam. Saya tidak mampu lagi untuk membohongi diri saya. Namun saya percaya pada kata-kata ‘Cinta tidak semestinya memiliki’. Saya sedar, saya tidak lagi memiliki Syana tetapi saya memiliki hati dan cintanya,"
"Cukup, Iqmal! Cukup! Saya tak mahu dengar itu semua!" Arianna menekup telinganya. Hatinya pilu mendengar ucapan Iqmal. Semuanya berbaur perasaan cintanya terhadap Syazana. Perasaan marah dan sedih bercampur baur. Di antara percaya atau tidak.
"Ari, saya tidak berniat…"
"Ya! Awak memang berniat. Niat awak untuk memperkecilkan saya! Sekarang saya nak awak keluar! Keluar dari bilik ini, Mal! Keluar!"
Iqmal akur. Sebaik sahaja Iqmal berlalu pergi, Arianna meluahkan segala air matanya di situ.
‘Syana, maafkan saya…’
---------------------------------
SYAZANA menghela nafas lega apabila seorang jururawat memberitahu bahawa Arianna sudah sedar. Dia pantas melangkah menuju ke wad yang menempatkan Arianna di situ. Tombol pintu dipulas. Kelihatan sekujur tubuh Arianna sedang berbaring lesu di atas katil. Kepalanya berbalut. Syazana kasihan melihat keadaan sahabat yang begitu dikasihinya itu.
"Ari…" bisik Syazana, tidak mahu mengejutkan Arianna.
Arianna berpaling. Mata mereka bertentangan. Syazana tersenyum namun tidak bagi Arianna. Syazana mengeluh di dalam hati. Pasti sahabatnya itu masih marah kepadanya. Namun, Syazana cuba untuk berlagak biasa.
"Ari… syukurlah awak sudah sedar. Saya risaukan awak. Mujurlah awak tidak mengalami kecederaan serius,"
Arianna diam, langsung tidak bersuara. Suasana hening buat seketika. Syazana tidak selesa dengan keadaan itu.
"Saya haus," Arianna tiba-tiba berkata.
Syazana tersentak. "Ha? Oh, ya. Awak haus? Saya ada bawakan air untuk awak," Syazanna menuangkan air yang diminta oleh Arianna ke dalam gelas. Dia turut membantu Arianna yang lemah untuk mengangkat tubuhnya itu. Sebaik sahaja Syazana mahu memberikan gelas itu kepada Arianna, dia terus memeluk Syazana dengan erat. Kedengaran esakan kecil di halwa telinga Syazana. Dia turut membalas pelukan sahabatnya itu. Air matanya turut menitis.
\"Awak… kenapa awak buat saya macam ni? Kenapa awak merahsiakan perkara ini daripada saya? Kenapa awak tidak memberitahu saya bahawa Iqmal itu sebenarnya teman istimewa awak?" ucap Arianna dalam tangisan yang cuba ditahan.
"Maafkan saya,Ari. Saya tahu saya tidak sepatutnya merahsiakan hal ini daripada awak. Saya tidak tahu macam mana nak beritahu awak. Saya takut awak akan terluka dan membenci saya,"
"Sekarang pun saya sudah rasa terluka awak,"
Syazana terpempan.
"Kalau awak beritahu saya sejak dari dulu lagi, mungkin saya tidak akan rasa terluka begini. Saya memang sukakan Iqmal, tetapi saya tidak mungkin akan sukakan lelaki yang sudah mempunyai teman istimewa. Apatah lagi, teman istimewa Iqmal itu adalah sahabat baik saya sendiri. Selama ini saya meluahkan segala apa yang saya rasa tentang Iqmal pada awak. Awak pula selalu cakap pada saya yang kami berdua sepadan. Apa maknanya semua itu? Saya dapat menerima hakikat hati Iqmal bukan untuk saya. Masalahnya, kenapa awak tidak beritahu saya? Kenapa, Syana? Kenapa?"
"Ari, saya betul-betul minta maaf. Saya yang bersalah. Sepatutnya saya lebih berfikir dalam bertindak. Disebabkan saya, awak mengalami kemalangan. Saya pasti tidak akan memaafkan diri saya sekiranya apa-apa kejadian menimpa diri awak. Saya memang seorang sahabat yang tidak berguna," Syazana memegang erat jari jemari Arianna. Dia benar-benar mengharapkan kemaafan dari Arianna. Dialah yang bersalah dalam hal ini.
"Memang awak tidak berguna! Tetapi sekarang… tidak lagi,"
Syazana mengangkat wajahnya. Dia tidak memahami maksud Arianna.
"Saya sudah tahu segalanya, Syana. Kerana awak, saya nyaris mati akibat kemalangan… dan kerana awak juga, saya hidup semula dengan darah yang awak dermakan kepada saya. Awak memberi saya kebahagiaan, Syana… dan awak juga telah mengajar saya erti penderitaan. Jika kemaafan yang awak minta, sudah tentu saya akan memaafkan awak. Bahkan jika nyawa juga awak perlukan, saya juga sanggup berikan kepada awak,"
"Ari….." Syazana merangkul semula tubuh Arianna. Hatinya begitu tersentuh dengan luahan Arianna.
"Saya sayangkan awak, Syana…"
"Saya juga, Ari…"
Tiba-tiba tombol pintu bilik itu dibuka. Seraut wajah yang cukup dikenali membuatkan mereka berdua masing-masing terdiam. Syazana memandang Arianna. Namun, reaksi Arianna tidak diduga. Dia hanya membuat muka selamba.
"Awak tak nak masuk ke? Awak nak tercegat saja di situ?" Arianna mengusik Iqmal. Syazana terpana. Arianna ketawa, disusuli oleh Syazana. Iqmal yang menjadi saksi drama sebabak itu turut tersenyum. Syazana kini mampu menarik nafas lega. Dia nekad! Arianna adalah sahabatnya, dunia dan akhirat!
0 komen