aku sebutir pasir

Wednesday, September 02, 2009

Aku hanyalah sebutir pasir yang terdampar di pantai kehidupan. Ditiup angin berterbangan, dihembus ke kiri ku ke kiri, dihembus ke kanan ku ke kanan.

Aku hanyalah sebutir pasir yang terlalu lemah. Tidak pernah sepi dari noda dan dosa. Tidak pernah sepi dari leka dan alpa. Selalu sahaja aku lemas dalam jurang-jurang durjana.

Suatu ketika, aku dipertemukan dengan pasir-pasir yang lain. Pasir dari segenap penjuru dunia. Dari utara ke selatan, timur ke barat. Aku diangkut ke medan persahabatan yang sangat mulia.

Diriku diadun dengan airmata kesyukuran kerana diberi peluang untuk terus berkasih sayang. Kerana ia memberi kekuatan buat diriku. Disebati pula dengan tanah dan lumpur dari pengalaman yang lalu.

Lalu aku semakin teguh bersimenkan sebuah persahabatan. Diteduh oleh atap kasih sayang. Disusun dan diatur menjadi bangunan tegak dan berdiri teguh di tengah-tengah mehnah kehidupan.

Namun, masa terus berlalu. Bangunan itu kian usang disalut debu. Pada tapak yang kukuh itu mula tampak retak dan rekah. Kini kau bukan lagi sebutir pasir yang pernah aku kenali suatu ketika dahulu.

Duhai sahabat, kembalikanlah kemanisan persahabatan itu. Aku terlalu mendambakannya. Marilah kita menutup kembali lompang-lompang yang kelihatan itu.

You Might Also Like

0 komen

Instagram

Instagram