CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA
Thursday, September 27, 2012
Indah kan permandangan diatas? cuba bayangkan betapa cantiknya ciptaan Illahi.... Cerita dibawah aku google untuk tatapan serta pedoman kita bersama
Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti
wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi
pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair
dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin
Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik
dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian
saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku
pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat Kalaulah tidak
kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka,
nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair
telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai
empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang
dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi
kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil
lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu
pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah
dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang
tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat
senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam
kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuang
tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan
ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela
hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada
tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang
lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah
memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu,
dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang
disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu.
Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang
binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang
bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah
kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah,
moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa
tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya
Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu.
Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu
melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan
yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya
ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat
balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang
masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian
berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad
bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia
sebaik saja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua
hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang
tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam
mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat
dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut.
Sambil mengibas- ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu,
telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar
dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa
lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul
pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan
semangat yang berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami
Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur,
segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat
keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan
bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau
telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah
nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri
Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri
Dapatkan kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah
kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-
abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah
pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat
tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahaya, dan
musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk
mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis
belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan
kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan
hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan
lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan
memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan
menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang
lainnya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka.
Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka
lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga
air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya
hanya sebahagian kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang
gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah
lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat
orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang
menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui
syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak
bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan
mensyahidkan mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan
aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih
hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia.
Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran
kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati
syahid."
0 komen