Hadapi kerenah degil

Monday, March 15, 2010

Degil adalah tanda si kecil sudah membina identitinya sendiri, selain berasa dirinya sudah berada dalam zon selamat.

ANAK anda enggan makan bersama apabila diajak? Kalau diminta mengemas barang permainannya, dia hanya berdiam diri atau cuba mengelak. Mungkin juga si kecil itu sengaja membuat bising apabila si adik sedang tidur atau akan lari ketika disuruh mandi.


Anda yang mempunyai anak kecil mungkin sudah biasa menghadapi situasi seperti ini. Siapa sangka dalam usia sementah itu, si comel ini sudah mula mengaplikasi soal pendirian dan kemahuannya. Percaya atau tidak, anak yang berusia tiga tahun ke atas berasa kurang bergantung pada anda. Itu adalah tanda bahawa dia sudah membina identitinya sendiri selain berasa dirinya sudah dalam zon selamat. Namun, itu bukan bermakna dia menjadi pemberontak. Berdegil adalah cara bagi anak kecil itu menunjukkan ketegasannya. Jadi, apabila dia menolak untuk bekerjasama dengan anda, dia sebenarnya cuba memberitahu, 'saya tidak sukakan peraturan mama'. Maka, apakah yang perlu anda lakukan?

Menurut jurnal Adolescent Child Specialty Services yang ditulis oleh Rebecca S. Blakeman, setiap kanak-kanak akan menunjukkan kemerdekaan diri melalui cara yang tidak sepatutnya dari semasa ke semasa. Meskipun begitu, adalah sangat penting bagi ibu bapa itu memahami situasi anak tersebut. Ibu bapa tidak harus berleter apabila tidak berasa senang dengan kelakuan anak-anak. Ia sebaliknya akan membuatkan sikap anak menjadi lebih buruk.

Beri pilihan


Jurnal Rebecca itu meminta ibu bapa cuba memahami kehendak anak mereka. Dalam situasi anda memintanya makan namun dia menjerit tidak mahu, usah dipaksa lagi. Paksaan hanya akan membuatkan dia menangis atau menunjukkan kemarahan.

Maka, cuba letakkan diri anda di tempatnya. Jika anak sibuk bermain, hampiri dia dan dakap si kecil itu sambil memberitahunya mengapa perlu makan. Itu adalah langkah pujukan psikologi. Tanpa disedari, anda sebenarnya menunjukkan bahasa tubuh dan ucapan yang membuatkan dia sedar dirinya diambil berat. Tanpa perlu memarahinya, tunjukkan betapa anda hendak ambil tahu mengapa dia tidak mahu makan.

Walau apapun yang dilakukannya, pastikan anak anda tahu bahawa semua perkara ada hadnya. Pendirian mereka mudah dilentur apabila anda menyatakan bahawa anda menyayanginya dan setiap yang disuruh itu adalah untuk kebaikannya. Memberi pilihan adalah cara terbaik untuk si anak mematuhi sesuatu peraturan. Jika dia ada masalah mengikuti sesuatu permintaan atau suruhan, fikirkan alternatif untuk mencari penyelesaiannya.

Contohnya, jika anak kecil sering 'meragam' gara-gara tidak mahu tidur dalam gelap, berikannya lampu suluh atau pasangkan lampu yang bercahaya suram. Di situ, aspek tolak ansur sudah terbina antara ibu bapa dengan si anak tersebut.

Orang dewasa perlu sentiasa menunjukkan sikap yang baik. Selain memberi perhatian ketika dia menunjukkan kenakalan atau kedegilan, anak kecil perlu sentiasa didekati dan dilayani semasa dia sedang dalam keadaan 'angin baik' atau mengikut kata. Beritahu anak-anak tentang apa yang betul atau tidak betul. Selalunya apabila si anak membuat kesalahan, dia pasti akan rasa bersalah. Oleh itu, jangan cepat marah. Sebaliknya, cakaplah secara baik dan terangkan kepadanya mengapa anda tidak mahu kesalahan itu diulanginya.

You Might Also Like

0 komen

Instagram

Instagram